Keputusan pilihanraya di Manek Urai telah diumumkan jam 9.00 mlm tadi. Kita semua sudah tahu Pas berjaya mengekalkan kerusi Dun Manek Urai ini untuk sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum akan datang. Kita ucapkan tahniah kepada YB Mohd Fauzi atas kemenangan ini. Walaupun sudah mencapai cita-cita bergelar, harap-harap YB jangan lupa apa yang dijanjikan mesti ditunaikan.
Bagi yang berada di Dewan SMK Sultan Yahya Petra 1 malam ini, pengumuman kemenangan Fauzi tidak mengurangkan debaran kencang yang berdegup di dada.
Sejak petang tadi apabila pusat pengundian ditutup, BN dan Pas serta seluruh rakyat mula merasakan debaran yang hebat. Agen-agen BN dan Pas di pusat-pusat pengundian telah awal-awal lagi memberikan maklumat-maklumat kepada parti tentang data kehadiran pengundi dan dari situ parti-parti sudah dapat menjangka keputusan secara tidak langsung.
Pas sejak tengah hari mendabik dada mendakwa mereka akan mengekalkan kerusi Manek Urai dengan majoriti melebihi 2000 undi apabila melihat peratusan mengundi yang tinggi sehingga mencapai 70% menjelang tengah hari. Sebelum pusat pengundian ditutup, seramai 10631 pengundi atau 87 % keluar mengundi.
Tetapi ternyata jangkaan Pas jauh meleset. Fauzi bukan sahaja gagal mengekalkan majoriti Pak Su Wel sebanyak 1352 undi malah menyebabkan Pas hampir tersungkur malu di sebalik keangkuhan mereka.
Pas walaupun menang, telah mengalami kemerosotan sebanyak 398 undi. Pada pilihanraya Umum 2008, Pas memperolehi 5746 undi tetapi pada kali ini hanya berjaya mengekalkan 5348 undi.
Sebaliknya BN telah memperolehi tambahan 919 undi dengan memperolehi 5283 undi berbanding 4364 undi pada pilihanraya umum lepas.
Di kampung Pak Su Wel sendiri, Peti Undi Manek Urai Lama, Pas tewas dengan 189 undi. Rakyat terutama anak mukim arwah Pak Su Wel melihat Fauzi gagal membuktikan dirinya sebagai 'bayangan' Pak Su Wel.
Walaupun Pas menjangka akan menang mudah di kampung ini tetapi penduduk Manek Urai Lama buktikan mereka tidak rela ada "Pak Su Wel No. 2". Bagi mereka ketiadaan Pak Su Wel tidak wajar dijadikan modal politik. Rakyat Manek Urai Lama tidak rela nama arwah dijaja ke hulu ke hilir kononnya ada pengganti yang 'seiras' arwah.
Di Manek Urai Baru, BN telah mencapai kemenangan sebanyak 34 undi. Ini membuktikan rakyat di kedua-dua peti undi telah menyahut seruan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk membina sebuah jambatan baru bernilai RM 10 juta menggantikan jambatan sempit yang sedia ada sekiranya pengundi menyokong BN.
Ternyata rakyat menilai keikhlasan TPM yang mahu melihat rakyat di Manek Urai Lama tidak terputus hubungan dengan dunia luar. Walaupun BN tewas dalam pilihanraya kecil ini tetapi rakyat di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama telah buktikan mereka bersedia menjadi pemangkin perubahan dan memilih BN dengan majoriti yang selesa.
Sewajarnya TPM menghadiahkan jambatan baru berkenaan sebagai tanda terima kasih atas sokongan rakyat di 2 peti undi berkenaan.
Di samping berjaya mengekalkan kemenangan di Manjor dengan peningkatan majoriti menjadi 89 undi berbanding 31 undi pada pilihanraya umum lepas, BN juga berjaya mengekalkan rentak kemenangan dengan merampas penguasaan Pas di Peti Undi Temalir dan Laloh.
Kemenangan di Laloh menunjukkan kubu kuat Pas ini tidak lagi menjadi lubuk rezeki untuk Pas menabur janji syurga. Rakyat Laloh juga tidak terpengaruh dengan kehadiran ribuan manusia yang entah datang dari mana semasa ceramah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim tempoh hari.
Kemenangan BN di Laloh juga membuktikan orang Melayu dan Islam tidak dapat menerima kecaman dan fitnah Nik Aziz terhadap BN. Keceluparan Nik Aziz dalam ceramah di Laloh menuduh UMNO sesat seperti Ayah Pin dan komunis 'dibayar cash' oleh masyarakat Laloh sendiri. Ini menunjukkan orang Melayu hari ini tidak boleh sewenang-wenangnya diperkuda dan dipersenda, dengan tawaran syurga dan air jampi.
Pengundi-pengundi Manek Urai telah memberikan isyarat jelas untuk kembali bergandingan memperjuangkan masa depan agama dan nasib anak bangsa bersama UMNO dan BN.
Pas dibantu dengan gabungan jentera pembangkang yang dikerah dari seluruh negara sehingga dengan bilangan yang amat ramai itu membolehkan bagi setiap tukang kempen Pas menjaga setiap buah rumah. Bilangan yang ramai ini juga telah membuatkan penyokong pas besar kepala, menghalang dan mengugut perayu-perayu undi BN dari berkempen.
Kehadiran tokoh-tokoh besar peringkat nasional seperti kepala pembangkang di parlimen, Anwar Ibrahim hanya mampu menarik orang ramai mendengar lawak jenakanya di pentas tetapi sama sekali tidak menggugat keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.
Tidak cukup dengan Anwar Ibrahim, Pas 'import' juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Boleh dikatakan sebahagian besar wakil rakyat pakatan haram pembangkang berkampung di manek Urai, namun ia tetap tidak menghalang pengundi Manek Urai memilih jalan kebenaran.
Apa yang dapat dilihat dari keputusan pilihanraya ini adalah, kegagalan Fauzi menambahkan atau sekurang-kurangnya mempertahankan majoriti yang diperolehi arwah Pok Su Wel mencerminkan penolakan rakyat Manek Urai terhadap Pas.
Mungkin juga wajar dinyatakan di sini, penolakan terhadap Fauzi menunjukkan pengundi Melayu dan Islam tidak dapat menerima konsep 'perkahwinan haram' pakatan pembangkang yang lebih sanggup bersekongkol dengan parti PKR dan DAP yang terang-terang menentang Islam berbanding untuk bersama-sama UMNO mendaulatkan Islam di bumi ini.
Apakah selepas ini akan kedengaran kembali konsep kerajaan perpaduan? Apakah konsep ini akan dicanangkan kembali oleh Pas setelah melihat penolakan orang Islam terhadap pakatan haram pembangkang?
Apa yang pasti, Pas semakin tidak relevan selagi terus bersama pakatan pembangkang. Orang Manek Urai sudah bagi 'amaran', Pas mesti berubah jika tidak Pas akan rebah.. Kelantan akan menjadi pusara kepada Pas.