11 June, 2009

Calon Bersifat Mesra Rakyat Pilihan Penduduk Manik Urai

Faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai nanti bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih kepada calon bersifat mesra rakyat dan mempunyai reputasi berkhidmat kepada rakyat.

Ukuran itu dibuat berdasarkan daripada perbualan penduduk di kedai-kedai kopi yang hangat memperkatakan mengenai calon pilihan mereka pada pilihan raya kecil itu.

Tinjauan Bernama mendapati reputasi calon yang diuar-uarkan bakal dipilih sama ada dari PAS atau Umno menjadi topik perbualan penduduk dengan mereka melahirkan harapan akan mendapat wakil rakyat baru yang mudah mendekati rakyat terutama apabila memerlukan bantuan.

"Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah, seperti bila rakyat ajak minum di kedai kopi, calon menolak atas alasan takut ikan jadi buruk (busuk) di dalam kereta, jadi terpaksa pulang segera," kata Mohd Bakri Abdullah kepada Bernama.

Penduduk mahukan wakil rakyat yang sanggup menolong mereka yang memerlukan bantuan, katanya dan menurutnya bantuan itu bukan merujuk kepada bantuan kewangan tetapi lebih kepada usaha mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Calon tidak mesra rakyat, kami tidak mahu. Kami nak calon bila rakyat nak buat kenduri dan perlukan peruntukan dia sedia membantu. Bila ada masalah bantuan, dia akan usahakan cari pihak yang dapat menolong," kata Mohd Bakri, 45.

Antara calon Umno yang disebut-sebut masyarakat setempat kerana mempunyai ketokohan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat kerana kesediaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini.

Nama Tuan Aziz disebut-sebut kerana beliau berasal dari Manik Urai dan merupakan pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.

Bagi PAS pula, antara nama calon yang disebut-sebut ialah Fikri Che Ismail atau lebih dikenali Mat Yi Kopiah.

Ahli perniagaan berusia 51 tahun itu yang juga Timbalan Ketua PAS Cawangan Kampung Laloh, di sini dikatakan sebagai calon terbaik kerana memenuhi kriteria yang dikehendaki parti itu beriman dan diterima oleh masyarakat setempat.

Ketika ditemui Bernama di sini, hari ini, Fikri berkata beliau tidak terfikir langsung untuk dipilih sebagai calon, apatah lagi untuk menawarkan diri dalam pilihan raya kecil itu.

"Saya tidak bermimpi langsung untuk menjadi calon dan menganggap masih belum layak untuk memikul tanggungjawab itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mungkin menolak jika diberi tanggungjawab itu kerana ia merupakan amanah dalam perjuangan parti yang berlandaskan Islam.

Nama-nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob, bekas calon PAS bagi kerusi DUN Manek Urai pada 2004, Zamzuri Mat Lazim; Ketua Pemuda PAS Kuala Krai, Mahadi Mohd Zain dan Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai.

Dun Manik Urai mempunyai 12,293 pemilih berdaftar dan 95 peratus daripada jumlah itu merupakan pengundi Melayu yang bergantung pendapatan kepada hasil pertanian termasuk sawit dan getah.

DUN itu mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu Temalir, Sungai Perial, Manik Urai Lama, Manik Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 1,352 undi dan pilihan raya umum 2004, BN mengatasi PAS dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi.

- BERNAMA
.

1Malaysia dilancar besar-besaran

Gagasan 1Malaysia akan dilancarkan secara besar-besaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.

Program yang dijangka disertai 10,000 orang terdiri dari kalangan anggota Kabinet, pegawai tinggi kerajaan, pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin parti-parti pembangkang serta perwakilan golongan muda itu akan memperjelaskan kepada umum pendekatan dan gerak kerja gagasan tersebut.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, mesyuarat Kabinet hari ini memberi lampu hijau supaya gagasan itu dilancarkan bermula pukul 8 pagi.

"Di situ nanti, lambang dan lagu 1Malaysia akan dilancarkan secara rasminya.

"Signifikannya pelancaran ini adalah supaya dapat memperjelaskan kepada khalayak tentang konsep, kaedah, pendekatan dan gerak kerja 1Malaysia yang disusun setiap masa agar mencapai matlamat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pihak kementerian sedang menyusun serapi mungkin pelancaran program ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Gagasan 1Malaysia diumumkan Najib April lalu bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama 1Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu sahaja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Ahad lalu, Najib berkata, gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau tersirat.

Kata Perdana Menteri, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru sebaliknya matlamat akhir gagasan iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.
.

Demi kepentingan Ummah, Hormati idea Abdul Hadi

Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pakatan pembangkang diminta menghormati idea gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dewan Pemuda Pas berpendirian peluang perlu diberikan sepenuhnya kepada Abdul Hadi untuk memberi penjelasan lanjut dan bukan membahaskannya berdasarkan sentimen dan emosi.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai seorang yang berilmu dalam bidang agama, mustahil Abdul Hadi akan mengemukakan sesuatu yang bertentangan dengan nas, justeru mereka harus lebih bertenang, bersabar serta tidak mudah melatah apabila membicarakan idea berkenaan.

‘‘Datuk Seri (Abdul Hadi) adalah seorang yang berilmu, berpengalaman dan bukan seorang yang jahil. Beliau merupakan ketua kami dan juga seorang ulama. Beliau berkelayakan untuk melontarkan apa jua idea yang mampu memberi manfaat kepada agama, rakyat dan negara.

‘‘Cetusan idea kerajaan perpaduan ini dibuat secara ilmiah iaitu dengan bersandarkan nas serta dalil di dalam Islam. Mustahil Datuk Seri akan mengemukakan satu idea yang boleh mendatangkan keburukan.

‘‘Sehubungan itu jika hendak dibahas sekalipun ia perlu dilakukan dalam konteks disiplin ilmu yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang berhubung idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.

Idea itu pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.

Dalam muktamar tersebut Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

Nasrudin berkata, pemimpin pakatan pembangkang juga harus sedar selama ini Pas sentiasa menyokong setiap idea yang dikemukakan atas semangat setia kawan walaupun ada masanya parti itu tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Menjawab satu soalan, Nasrudin mengakui, perbahasan secara emosi dan sentimen peribadi boleh menyebabkan ia dilihat mengikut perspektif yang sempit dan negatif.

‘‘Ini ditambahkan lagi dengan kenyataan yang menyebut, idea kerajaan perpaduan itu sama dengan usaha untuk membawa Pas menyertai UMNO.

“Saya ingin tegaskan di sini, perkara ini tidak akan berlaku dan mustahil berlaku. Tidak akan ada pemimpin dalam Pas akan berbuat demikian.

‘‘Ideologi Pas tidak sama dengan UMNO. Dasar perjuangan parti pun tidak sama tetapi bukan bermaksud kita harus menjauhi diri daripada mereka.

‘‘Kita harus mendekati mereka bagi tujuan dakwah kita selain berusaha untuk menyelesaikan banyak masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, al-Quran ada menyatakan dengan maksudnya ‘hendaklah kamu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara jahat dan dosa’, merupakan arahan Allah kepada setiap hamba-Nya supaya menjalinkan kerjasama di dalam perkara yang berasaskan ketaqwaan.

‘‘Arahan ini jelas yang mana Allah menyuruh kita bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan iaitu dengan meletakkan taqwa sebagai asas dan dalam masa sama Allah melarang kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa,” ujarnya.
.