16 June, 2009

Pas dakwa tidak tahu rancangan Nizar

Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa berkata Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada parti itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, telah berjaya dalam hasratnya untuk menarik perhatian dunia daripada tindakannya di Dewan Rakyat semalam.

“Beliau nak tarik perhatian dunia dan beliau sudah mendapat perhatian dunia,” katanya merujuk kepada tindakan Mohammad Nizar memakai lilitan bertulis “Bubar DUN” pada songkoknya selain melaungkan “Hidup Rakyat, Bubar DUN” sebaik mengangkat sumpah memegang jawatan seamalam.

Akibat perbuatan melanggar peraturan itu, beliau digantung daripada menghadiri persidangan selama dua hari oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Nasharuddin berkata beliau tidak mengetahui sepenuhnya tindakan yang ingin dilakukan oleh Mohammad Nizar kerana beliau hanya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memakai lilitan lengan, dan oleh itu terkejut apabila Anggota Parlimen berkenaan bertindak lebih daripada itu.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan tindakan itu, Nasharuddin berkata oleh kerana kejadian itu telah berlaku, maka beliau menerima seadanya.

Beliau menolak kemungkinan bahawa Mohammad Nizar akan dikenakan tindakan disiplin oleh Pas berhubung kejadian itu.

Mengenai laporan portal berita Agenda Daily bahawa berikutan kejadian itu, beliau kini menjauhkan diri daripada Mohammad Nizar, Nasharuddin berkata beliau tidak pernah berkata demikian.

“Apa yang saya katakan ialah apa yang berlaku semalam merupakan respon Nizar untuk menunjukkan kepada dunia apa yang sedang berlaku di Perak, walaupun secara peribadi, saya tidak diberitahu perkara yang akan beliau lakukan semalam,” katanya.

— BERNAMA

Nizar Bawa Undang-Undang Rimba, digantung hadiri Sidang Parlimen

MOHAMMAD NIZAR (kiri), Ngeh Koo Ham dan Ngo Kor Ming diarah keluar Dewan kerana enggan membuka lilitan kain di kepala bertulis 'Bubar DUN' pada sidang Dewan Rakyat, semalam

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen serta enam lagi anggota pembangkang, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula semalam kerana enggan mematuhi peraturan mesyuarat.

Mohammad Nizar, yang menang kerusi Bukit Gantang pada pilihan raya kecil 7 April lalu dan enam anggota pembangkang itu diarah keluar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas mereka tidak menghiraukan arahan supaya membuka lilitan pada songkok, kepala atau lengan bertulis 'Bubar DUN'.

Selain Mohammad Nizar, turut digantung ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Ngo Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai),

Kira-kira 20 penyokong parti pembangkang di galeri pemerhati yang turut memakai lilitan itu, juga diarah keluar Dewan.

Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian Ngeh dan Dr Dzulkefly kembali memasuki Dewan, tetapi keluar semula selepas ditegur Speaker.

Kekecohan itu berlaku kira-kira lima minit selepas persidangan bermula apabila Mohamad Nizar, yang memakai lilitan pada songkoknya sebaik selesai mengangkat sumpah, melaungkan 'Hidup, Hidup, Hidup Rakyat, Bubar, Bubar, Bubar DUN Perak' serta

Pandikar Amin ketika mengeluarkan arahan itu berkata: "Secara tradisi, apabila seorang Yang Berhormat mengangkat sumpah, tugas pertama Yang Dipertua ialah mengalu-alukan kehadirannya dengan harapan dia menyumbang bukan saja dari segi perbahasan tetapi juga tatacara, cara bercakap, berdiri, tetapi hari ini seorang wakil rakyat yang juga bekas Menteri Besar gagal berbuat demikian.

"Apa juga gelagat di luar dewan, saya tidak kisah tetapi jangan buat gelagat di dalam dewan yang di luar daripada Peraturan Mesyuarat."

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Pandikar Amin menegaskan semua pihak termasuk wakil rakyat harus menghormati peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Parlimen Malaysia tidak membenarkan mana-mana anggotanya memakai lilitan kepala ketika memasuki Dewan Rakyat. Ini bukan budaya kita.

"Pada persidangan hari ini, pembangkang membazirkan masa selama 24 minit menyebabkan banyak perkara yang seharusnya diteruskan terganggu. Dewan Rakyat bukan pasar, ia adalah institusi tertinggi yang membincangkan pelbagai perkara," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sebagai reaksi spontan kerana kemungkinan dia masih tidak berpuas hati dengan isu DUN Perak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sidang medianya menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sungguh memalukan dan mengecewakan wakil rakyat lain.

"Mohammad Nizar mungkin masih fikir ini (Dewan Rakyat) adalah Dewan Undangan Negeri Perak. Selama empat penggal berada dalam Dewan Rakyat, saya tidak pernah melihat tindakan seperti ini," katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Mohammad Nizar tidak seharusnya bertindak samseng dalam Dewan Rakyat.

"Beliau perlu faham Parlimen ada undang-undang dan perlu menghormatinya. Mohammad Nizar juga perlu menghormati Speaker dan tidak seharusnya menjerit dalam Parlimen.

"Sebagai seorang pemimpin politik tidak kira parti mana Mohammad Nizar wakili, beliau seharusnya menunjukkan contoh yang baik, tetapi kelakuan beliau sungguh memalukan," katanya.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) juga menyifatkan kejadian itu memalukan dan diibaratkan seperti 'meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri'.

"Kalau mahu anak muda menjadi contoh dan memiliki jati diri, kita kena tunjuk teladan.

Kalau tidak puas hati, kita boleh berhujah. Apa yang berlaku pagi tadi tidak boleh memberi contoh kepada masyarakat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata wakil rakyat perlu menjadi pemimpin yang berwibawa dan bukan gila kuasa.

"Rakyat kena berfikir pada pilihan raya akan datang, jangan lagi pilih orang seperti ini... ini bukan memberi kebaikan pada negara, sebaliknya hanya mendatangkan keburukan," katanya.

Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, kejadian itu menjijikkan dan tidak sepatutnya dijadikan contoh masyarakat dalam dan luar negara.

"Program Latihan Khidmat Negara memupuk nilai, bukannya seperti yang ditunjukkan dalam dewan pagi tadi, ia memalukan," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd Rahman, berkata beliau terkejut dengan tindakan Mohammad Nizar tidak menghormati Dewan Rakyat.

"Saya hairan bagaimana individu sepertinya boleh berada di Dewan ini. Tindakan beliau sudah melanggar perundangan dan perlembagaan negara," katanya.


Kerajaan Perpaduan : Najib lihat PAS ikhlas.. Nasharuddin sambut baik

Episod cadangan supaya diwujudkan kerajaan perpaduan makin menarik. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam komen terbarunya hari Selasa menegaskan beliau melihat PAS ikhlas dengan cadangan itu.

Timbalan Presiden PAS, Nashruddin Mat Isa pula ketika mengulas penegasan Najib tersebut menyifatkan ia kenyataan satu langkah ke hadapan.

Menurut Najib sesuai dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh PAS itu, UMNO tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh membawa kepada kebaikan negara.

“UMNO sentiasa terbuka dan sedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Negara-Negara Komanwel ke-17 (CCEM) di Putrajaya.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dicetuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ekoran cadangan berkenaan wujud percanggahan dalam PAS sendiri. Malah pemilihan PAS pada muktamar parti itu menyaksikan isu berkenaan dikatakan telah mempengaruhi pemilihan yang berlangsung.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan antara yang kuat menentang cadangan yang dibawa oleh Hadi tersebut hingga melabelkan mereka yang menyokong idea tersebut sebagai boneka UMNO.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan PAS itu, Najib berkata, ia adalah satu titik permulaan dan perlu melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti berkenaan.

"Kita kena risik-risik dulu. Macam kita nak kahwinlah, kena risik-risik dulu. Jadi tak jadi, kita tengoklah. Takdir menentukan, apa bentuk kita tak tahu lagilah. Kita tengok pada bentuk kerjasama yang sesuai. Selepas itu, kita boleh bincang. Tak ada masalah," katanya.

Sementara itu Nasharuddin ketika dikerumuni oleh wartawan di lobi Parlimen bagi diminta mengulas kenyataan terbaru Najib tersebut berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri dan menyifatkannya “satu langkah ke hadapan” dalam soal perbincangan untuk perpaduan.

Serentak dengan itu, beliau akan memaklumkan respon positif Najib tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini berada di luar negara.

Pada masa yang sama beliau menegaskan, perbincangan ke arah perpaduan tidak bermaksud PAS akan menyertai UMNO atau akan tunduk kepada parti itu.

Diminta mengulas kenyataan Nik Aziz mengenai mereka yang menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai menjadi boneka UMNO, Nasharuddin enggan mengulas.

“Saya tidak dapat membuat tafsiran apa yang dimaksudkannya,” kata beliau mengelak untuk mengulas mengenai perkara berkenaan.