23 June, 2009

Ustaz Nasharuddin, sudahkah luka di hati itu terubat..

Manek Urai 2009 menulis...

Pastinya ramai pembaca termasuk penulis ingin melihat sendiri reaksi Ustaz Nasharuddin setelah bertalu-talu dikecam penyokong Pas setelah timbul isu kerajaan Perpaduan. Bukan setakat kejian penyokong bawahan di kedai-kedai kopi, kecaman juga daripada rakan-rakan dalam pimpinan Pas yang tidak bersetuju dengan beliau, malah ke peringkat 'tertinggi' Mursyidul Am pun begitu bersemangat mengecam beliau, sehingga mengumpamakan beliau sebagai sampah yang menyemakkan dalam Pas.

Walaupun setelah kompromi kepala-kepala pembangkang yang membuat keputusan menolak cadangan kerajaan perpaduan anjuran Pas, sehingga memberikan kesempatan Nik Aziz 'membuat keputusan menarik balik' kecaman terhadap Ustaz Nasharuddin dan menganggap semuanya sudah selesai dan tidak berbangkit lagi - tetapi Timbalan Presiden Pas itu dilihat lebih selesa mengambil kaedah menjauhkan diri dari bersama-sama dengan kepimpinan lain dalam Pas.

Walaupun pada pertemuan dengan Nik Aziz suratkhabar memaparkan Ustaz Nasharuddin mencium tangan Nik Aziz - bagi menunjukkan tidak ada apa-apa masalah lagi - tetapi pastinya bukan senang untuk beliau lupakan kecaman kesat terhadapnya. Pepatah Melayu mengatakan, luka di kaki mudah diubati, luka di hati siapa yang tahu.

Sebab itu beliau hanya menghadiri pertemuan pemimpin kanan PAS dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah petang tetapi mengambil keputusan tidak hadir pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS yang dipengerusikan oleh Haji Hadi pada sebelah malamnya.

Hingga hari ni, masih belum ada kenyataan rasmi daripada beliau. Aku pun tertanya-tanya kenapa Ustaz Nasharuddin tidak memberikan kenyataan akhbar tentang hal ni.

Difahamkan usaha untuk menghubungi beliau menerusi panggilan telefon dan SMS juga tidak menemui hasil. Malah, beliau juga tidak kelihatan di bangunan Parlimen sejak Khamis lalu.

Aku faham perasaan Ustaz Nasharuddin. Bukan senang nak lupakan kecaman dan kejian yang mungkin paling teruk pernah dihadapinya. Nampak sangat kecaman dan kejian ke atas dirinya seolah-olah 'skrip' dirancang oleh musuh-musuh dalam kelambunya sendiri. Bagi mereka kemarahan Nik Aziz terhadap Ustaz Nasharuddin adalah kemenangan yang amat bermakna.

Tapi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Ustaz Nasharuddin harus tampil pertahankan diri, pertahankan prinsip dan maruahnya.

Jangan dibiarkan gerakan-gerakan sulit di bawah tanah di dalam Pas mekar subur sehingga pada satu hari nanti Pas, DAP dan PKR tidak mempunyai beza apa-apa. Apa sahaja yang diputuskan DAP dan PKR, Pas akan akur.

Kalau begitulah kesudahannya, orang yang istiqamah dalam perjuangan sebagaimana Ustaz Nasharuddin pasti akan dipersalahkan, dan musuh-musah dalam kelambu itu boleh bersorak meraikan kemenangan mereka.

.

ADUN Kota Shah Alam silap pilih lawan..

Manek Urai 2009..

Keghairahan ADUN Kota Shah Alam, namanya aku malas nak sebut, yang mana salah seorang daripada lima kepala Hindraf yang dibebaskan dari tahanan ISA baru-baru ini telah menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengharamkan serta merta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Si ADUN ni mendakwa PERKASA telah menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Melayu kerana memperjuangkan hak-hak orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Si ADUN itu juga tidak senang hati apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Perkasa 12 Jun lalu. Katanya Najib tidak harus mengadakan pertemuan dengan Perkasa kerana pada pandangannya ianya bercanggah dengan 'Konsep 1Malaysia' yang diilhamkannya.

Kata si ADUN itu lagi Perkasa tidak boleh dibiarkan terus wujud dengan bertopengkan alasan untuk melindungi orang Melayu sedangkan pertubuhan itu didakwanya tidak ikhlas dalam perjuangannya. Dia bandingkan pula dengan kewujudan Hindraf yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Aku tergelak besar bila si ADUN yang aku meluat nak sebut nama dia ni duk sibuk-sibuk nak kritik PERKASA. Eh dia sedar ke tidak, PERKASA ni dipimpin oleh seorang Melayu yang gagah perkasa, tak gentar dengan ugutan, tak takut dengan ancaman.

Si ADUN itu nak cari gaduh dengan Dato' Ibrahim Ali pulak dah. Tak tahukah Ibrahim Ali ni orang gedebe laksana Adi Jagat Wira Keadilan Dunia. Kalau setakat si ADUN tu nak banding hujung jari Dato' Ibrahim pun tak padan. Orang Kelate kata, tak padan nak masuk bong (gelanggang).

Jawapan Dato' Ibrahim mudah saja "Siapa DAP yang mahu Perkasa diharamkan, mereka ingat mereka siapa".

Kepada Dato' Ibrahim, tak payah layanlah si Adun ni. Wat bazir air liur jah. Dato' teruskan berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.
.