17 June, 2009

Nik Aziz gesa Nasharuddin keluar PAS


dipetik daripada malaysiakini

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan.

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini. Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

Kenyataan tokoh ulama PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."

Khamis lalu, mengulas isu kerajaan perpaduan yang semakin bercelaru dalam PAS susulan kemunculan semula isu tersebut ketika muktamar awal bulan ini, Nik Aziz berkata: "Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas. Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno." Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz dilaporkan berkata "beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS Kelantan menerimanya sebagai calon di parlimen tersebut" pada pilihanraya umum 2008.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau juga berkata PAS dan Pakatan Rakyat kini "telah masuk perangkap Umno" berhubung isu berkenaan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan Pakatan Rakyat sedang berpecah," katanya.

Beliau juga dilaporkan berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada gabungan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju... PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.

.............xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx............


EWAH EWAH BEKENGNYA POK NIK SEJAK DUA MENJAK NIH. TAPI HOK AMBO RASO GUSARNYA GUANA DUK TERKAM KO USTAZ NASHARUDDIN PULAK. BUKAN DIA YANG MULAKAN ISU KERAJAAN PERPADUAN NI, TAPI TOK GURU PRESIDEN PAS. KALAU NAK MARAH SANGAT PUN KENAPA PULA USTAZ NASHARUDDIN YANG KENA SEMBUR. SEPATUTNYA POK NIK AZIZ SURUH LAH HJ HADI TU YANG KELUAR PAS, BUKAN USTAZ NASHARUDDIN.


INILAH YANG DIKATAKAN PUKUL ANAK SINDIR MENANTU. KALAU POK NIK NAK CARI ORANG NAK BUAT LAWAN, AJAKLAH HAJI HADI LAWAN, BIAR BERTEMU BUKU DENGAN RUAS...


KEPADA USTAZ NASHARUDDIN, SABARLAH BANYAK-BANYAK. JANGAN DUK LAYAN SANGAT KATA-KATA POK NIK TU.. JANGAN LA MARAH KO DIA, KITA KENA PAHAMLAH UMUR DIA DAH BERAPA. SELAGI KITA YAKIN APA YANG KITA BUAT NI BETUL, TERUSKANLAH..


JANGAN TAKUT DAN JANGAN GENTAR, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA ORANG-ORANG YANG SABAR..

16 June, 2009

Pas dakwa tidak tahu rancangan Nizar

Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa berkata Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada parti itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, telah berjaya dalam hasratnya untuk menarik perhatian dunia daripada tindakannya di Dewan Rakyat semalam.

“Beliau nak tarik perhatian dunia dan beliau sudah mendapat perhatian dunia,” katanya merujuk kepada tindakan Mohammad Nizar memakai lilitan bertulis “Bubar DUN” pada songkoknya selain melaungkan “Hidup Rakyat, Bubar DUN” sebaik mengangkat sumpah memegang jawatan seamalam.

Akibat perbuatan melanggar peraturan itu, beliau digantung daripada menghadiri persidangan selama dua hari oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Nasharuddin berkata beliau tidak mengetahui sepenuhnya tindakan yang ingin dilakukan oleh Mohammad Nizar kerana beliau hanya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memakai lilitan lengan, dan oleh itu terkejut apabila Anggota Parlimen berkenaan bertindak lebih daripada itu.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan tindakan itu, Nasharuddin berkata oleh kerana kejadian itu telah berlaku, maka beliau menerima seadanya.

Beliau menolak kemungkinan bahawa Mohammad Nizar akan dikenakan tindakan disiplin oleh Pas berhubung kejadian itu.

Mengenai laporan portal berita Agenda Daily bahawa berikutan kejadian itu, beliau kini menjauhkan diri daripada Mohammad Nizar, Nasharuddin berkata beliau tidak pernah berkata demikian.

“Apa yang saya katakan ialah apa yang berlaku semalam merupakan respon Nizar untuk menunjukkan kepada dunia apa yang sedang berlaku di Perak, walaupun secara peribadi, saya tidak diberitahu perkara yang akan beliau lakukan semalam,” katanya.

— BERNAMA

Nizar Bawa Undang-Undang Rimba, digantung hadiri Sidang Parlimen

MOHAMMAD NIZAR (kiri), Ngeh Koo Ham dan Ngo Kor Ming diarah keluar Dewan kerana enggan membuka lilitan kain di kepala bertulis 'Bubar DUN' pada sidang Dewan Rakyat, semalam

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen serta enam lagi anggota pembangkang, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula semalam kerana enggan mematuhi peraturan mesyuarat.

Mohammad Nizar, yang menang kerusi Bukit Gantang pada pilihan raya kecil 7 April lalu dan enam anggota pembangkang itu diarah keluar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas mereka tidak menghiraukan arahan supaya membuka lilitan pada songkok, kepala atau lengan bertulis 'Bubar DUN'.

Selain Mohammad Nizar, turut digantung ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Ngo Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai),

Kira-kira 20 penyokong parti pembangkang di galeri pemerhati yang turut memakai lilitan itu, juga diarah keluar Dewan.

Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian Ngeh dan Dr Dzulkefly kembali memasuki Dewan, tetapi keluar semula selepas ditegur Speaker.

Kekecohan itu berlaku kira-kira lima minit selepas persidangan bermula apabila Mohamad Nizar, yang memakai lilitan pada songkoknya sebaik selesai mengangkat sumpah, melaungkan 'Hidup, Hidup, Hidup Rakyat, Bubar, Bubar, Bubar DUN Perak' serta

Pandikar Amin ketika mengeluarkan arahan itu berkata: "Secara tradisi, apabila seorang Yang Berhormat mengangkat sumpah, tugas pertama Yang Dipertua ialah mengalu-alukan kehadirannya dengan harapan dia menyumbang bukan saja dari segi perbahasan tetapi juga tatacara, cara bercakap, berdiri, tetapi hari ini seorang wakil rakyat yang juga bekas Menteri Besar gagal berbuat demikian.

"Apa juga gelagat di luar dewan, saya tidak kisah tetapi jangan buat gelagat di dalam dewan yang di luar daripada Peraturan Mesyuarat."

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Pandikar Amin menegaskan semua pihak termasuk wakil rakyat harus menghormati peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Parlimen Malaysia tidak membenarkan mana-mana anggotanya memakai lilitan kepala ketika memasuki Dewan Rakyat. Ini bukan budaya kita.

"Pada persidangan hari ini, pembangkang membazirkan masa selama 24 minit menyebabkan banyak perkara yang seharusnya diteruskan terganggu. Dewan Rakyat bukan pasar, ia adalah institusi tertinggi yang membincangkan pelbagai perkara," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sebagai reaksi spontan kerana kemungkinan dia masih tidak berpuas hati dengan isu DUN Perak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada sidang medianya menyifatkan tindakan Mohammad Nizar sungguh memalukan dan mengecewakan wakil rakyat lain.

"Mohammad Nizar mungkin masih fikir ini (Dewan Rakyat) adalah Dewan Undangan Negeri Perak. Selama empat penggal berada dalam Dewan Rakyat, saya tidak pernah melihat tindakan seperti ini," katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Mohammad Nizar tidak seharusnya bertindak samseng dalam Dewan Rakyat.

"Beliau perlu faham Parlimen ada undang-undang dan perlu menghormatinya. Mohammad Nizar juga perlu menghormati Speaker dan tidak seharusnya menjerit dalam Parlimen.

"Sebagai seorang pemimpin politik tidak kira parti mana Mohammad Nizar wakili, beliau seharusnya menunjukkan contoh yang baik, tetapi kelakuan beliau sungguh memalukan," katanya.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) juga menyifatkan kejadian itu memalukan dan diibaratkan seperti 'meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri'.

"Kalau mahu anak muda menjadi contoh dan memiliki jati diri, kita kena tunjuk teladan.

Kalau tidak puas hati, kita boleh berhujah. Apa yang berlaku pagi tadi tidak boleh memberi contoh kepada masyarakat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata wakil rakyat perlu menjadi pemimpin yang berwibawa dan bukan gila kuasa.

"Rakyat kena berfikir pada pilihan raya akan datang, jangan lagi pilih orang seperti ini... ini bukan memberi kebaikan pada negara, sebaliknya hanya mendatangkan keburukan," katanya.

Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, kejadian itu menjijikkan dan tidak sepatutnya dijadikan contoh masyarakat dalam dan luar negara.

"Program Latihan Khidmat Negara memupuk nilai, bukannya seperti yang ditunjukkan dalam dewan pagi tadi, ia memalukan," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd Rahman, berkata beliau terkejut dengan tindakan Mohammad Nizar tidak menghormati Dewan Rakyat.

"Saya hairan bagaimana individu sepertinya boleh berada di Dewan ini. Tindakan beliau sudah melanggar perundangan dan perlembagaan negara," katanya.


Kerajaan Perpaduan : Najib lihat PAS ikhlas.. Nasharuddin sambut baik

Episod cadangan supaya diwujudkan kerajaan perpaduan makin menarik. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam komen terbarunya hari Selasa menegaskan beliau melihat PAS ikhlas dengan cadangan itu.

Timbalan Presiden PAS, Nashruddin Mat Isa pula ketika mengulas penegasan Najib tersebut menyifatkan ia kenyataan satu langkah ke hadapan.

Menurut Najib sesuai dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh PAS itu, UMNO tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh membawa kepada kebaikan negara.

“UMNO sentiasa terbuka dan sedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Negara-Negara Komanwel ke-17 (CCEM) di Putrajaya.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dicetuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ekoran cadangan berkenaan wujud percanggahan dalam PAS sendiri. Malah pemilihan PAS pada muktamar parti itu menyaksikan isu berkenaan dikatakan telah mempengaruhi pemilihan yang berlangsung.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan antara yang kuat menentang cadangan yang dibawa oleh Hadi tersebut hingga melabelkan mereka yang menyokong idea tersebut sebagai boneka UMNO.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan PAS itu, Najib berkata, ia adalah satu titik permulaan dan perlu melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti berkenaan.

"Kita kena risik-risik dulu. Macam kita nak kahwinlah, kena risik-risik dulu. Jadi tak jadi, kita tengoklah. Takdir menentukan, apa bentuk kita tak tahu lagilah. Kita tengok pada bentuk kerjasama yang sesuai. Selepas itu, kita boleh bincang. Tak ada masalah," katanya.

Sementara itu Nasharuddin ketika dikerumuni oleh wartawan di lobi Parlimen bagi diminta mengulas kenyataan terbaru Najib tersebut berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri dan menyifatkannya “satu langkah ke hadapan” dalam soal perbincangan untuk perpaduan.

Serentak dengan itu, beliau akan memaklumkan respon positif Najib tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini berada di luar negara.

Pada masa yang sama beliau menegaskan, perbincangan ke arah perpaduan tidak bermaksud PAS akan menyertai UMNO atau akan tunduk kepada parti itu.

Diminta mengulas kenyataan Nik Aziz mengenai mereka yang menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai menjadi boneka UMNO, Nasharuddin enggan mengulas.

“Saya tidak dapat membuat tafsiran apa yang dimaksudkannya,” kata beliau mengelak untuk mengulas mengenai perkara berkenaan.

11 June, 2009

Calon Bersifat Mesra Rakyat Pilihan Penduduk Manik Urai

Faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai nanti bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih kepada calon bersifat mesra rakyat dan mempunyai reputasi berkhidmat kepada rakyat.

Ukuran itu dibuat berdasarkan daripada perbualan penduduk di kedai-kedai kopi yang hangat memperkatakan mengenai calon pilihan mereka pada pilihan raya kecil itu.

Tinjauan Bernama mendapati reputasi calon yang diuar-uarkan bakal dipilih sama ada dari PAS atau Umno menjadi topik perbualan penduduk dengan mereka melahirkan harapan akan mendapat wakil rakyat baru yang mudah mendekati rakyat terutama apabila memerlukan bantuan.

"Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah, seperti bila rakyat ajak minum di kedai kopi, calon menolak atas alasan takut ikan jadi buruk (busuk) di dalam kereta, jadi terpaksa pulang segera," kata Mohd Bakri Abdullah kepada Bernama.

Penduduk mahukan wakil rakyat yang sanggup menolong mereka yang memerlukan bantuan, katanya dan menurutnya bantuan itu bukan merujuk kepada bantuan kewangan tetapi lebih kepada usaha mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Calon tidak mesra rakyat, kami tidak mahu. Kami nak calon bila rakyat nak buat kenduri dan perlukan peruntukan dia sedia membantu. Bila ada masalah bantuan, dia akan usahakan cari pihak yang dapat menolong," kata Mohd Bakri, 45.

Antara calon Umno yang disebut-sebut masyarakat setempat kerana mempunyai ketokohan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat kerana kesediaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini.

Nama Tuan Aziz disebut-sebut kerana beliau berasal dari Manik Urai dan merupakan pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.

Bagi PAS pula, antara nama calon yang disebut-sebut ialah Fikri Che Ismail atau lebih dikenali Mat Yi Kopiah.

Ahli perniagaan berusia 51 tahun itu yang juga Timbalan Ketua PAS Cawangan Kampung Laloh, di sini dikatakan sebagai calon terbaik kerana memenuhi kriteria yang dikehendaki parti itu beriman dan diterima oleh masyarakat setempat.

Ketika ditemui Bernama di sini, hari ini, Fikri berkata beliau tidak terfikir langsung untuk dipilih sebagai calon, apatah lagi untuk menawarkan diri dalam pilihan raya kecil itu.

"Saya tidak bermimpi langsung untuk menjadi calon dan menganggap masih belum layak untuk memikul tanggungjawab itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mungkin menolak jika diberi tanggungjawab itu kerana ia merupakan amanah dalam perjuangan parti yang berlandaskan Islam.

Nama-nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob, bekas calon PAS bagi kerusi DUN Manek Urai pada 2004, Zamzuri Mat Lazim; Ketua Pemuda PAS Kuala Krai, Mahadi Mohd Zain dan Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai.

Dun Manik Urai mempunyai 12,293 pemilih berdaftar dan 95 peratus daripada jumlah itu merupakan pengundi Melayu yang bergantung pendapatan kepada hasil pertanian termasuk sawit dan getah.

DUN itu mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu Temalir, Sungai Perial, Manik Urai Lama, Manik Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 1,352 undi dan pilihan raya umum 2004, BN mengatasi PAS dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi.

- BERNAMA
.

1Malaysia dilancar besar-besaran

Gagasan 1Malaysia akan dilancarkan secara besar-besaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.

Program yang dijangka disertai 10,000 orang terdiri dari kalangan anggota Kabinet, pegawai tinggi kerajaan, pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin parti-parti pembangkang serta perwakilan golongan muda itu akan memperjelaskan kepada umum pendekatan dan gerak kerja gagasan tersebut.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, mesyuarat Kabinet hari ini memberi lampu hijau supaya gagasan itu dilancarkan bermula pukul 8 pagi.

"Di situ nanti, lambang dan lagu 1Malaysia akan dilancarkan secara rasminya.

"Signifikannya pelancaran ini adalah supaya dapat memperjelaskan kepada khalayak tentang konsep, kaedah, pendekatan dan gerak kerja 1Malaysia yang disusun setiap masa agar mencapai matlamat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pihak kementerian sedang menyusun serapi mungkin pelancaran program ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Gagasan 1Malaysia diumumkan Najib April lalu bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama 1Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu sahaja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Ahad lalu, Najib berkata, gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau tersirat.

Kata Perdana Menteri, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru sebaliknya matlamat akhir gagasan iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.
.

Demi kepentingan Ummah, Hormati idea Abdul Hadi

Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pakatan pembangkang diminta menghormati idea gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dewan Pemuda Pas berpendirian peluang perlu diberikan sepenuhnya kepada Abdul Hadi untuk memberi penjelasan lanjut dan bukan membahaskannya berdasarkan sentimen dan emosi.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai seorang yang berilmu dalam bidang agama, mustahil Abdul Hadi akan mengemukakan sesuatu yang bertentangan dengan nas, justeru mereka harus lebih bertenang, bersabar serta tidak mudah melatah apabila membicarakan idea berkenaan.

‘‘Datuk Seri (Abdul Hadi) adalah seorang yang berilmu, berpengalaman dan bukan seorang yang jahil. Beliau merupakan ketua kami dan juga seorang ulama. Beliau berkelayakan untuk melontarkan apa jua idea yang mampu memberi manfaat kepada agama, rakyat dan negara.

‘‘Cetusan idea kerajaan perpaduan ini dibuat secara ilmiah iaitu dengan bersandarkan nas serta dalil di dalam Islam. Mustahil Datuk Seri akan mengemukakan satu idea yang boleh mendatangkan keburukan.

‘‘Sehubungan itu jika hendak dibahas sekalipun ia perlu dilakukan dalam konteks disiplin ilmu yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang berhubung idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.

Idea itu pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.

Dalam muktamar tersebut Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

Nasrudin berkata, pemimpin pakatan pembangkang juga harus sedar selama ini Pas sentiasa menyokong setiap idea yang dikemukakan atas semangat setia kawan walaupun ada masanya parti itu tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Menjawab satu soalan, Nasrudin mengakui, perbahasan secara emosi dan sentimen peribadi boleh menyebabkan ia dilihat mengikut perspektif yang sempit dan negatif.

‘‘Ini ditambahkan lagi dengan kenyataan yang menyebut, idea kerajaan perpaduan itu sama dengan usaha untuk membawa Pas menyertai UMNO.

“Saya ingin tegaskan di sini, perkara ini tidak akan berlaku dan mustahil berlaku. Tidak akan ada pemimpin dalam Pas akan berbuat demikian.

‘‘Ideologi Pas tidak sama dengan UMNO. Dasar perjuangan parti pun tidak sama tetapi bukan bermaksud kita harus menjauhi diri daripada mereka.

‘‘Kita harus mendekati mereka bagi tujuan dakwah kita selain berusaha untuk menyelesaikan banyak masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, al-Quran ada menyatakan dengan maksudnya ‘hendaklah kamu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara jahat dan dosa’, merupakan arahan Allah kepada setiap hamba-Nya supaya menjalinkan kerjasama di dalam perkara yang berasaskan ketaqwaan.

‘‘Arahan ini jelas yang mana Allah menyuruh kita bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan iaitu dengan meletakkan taqwa sebagai asas dan dalam masa sama Allah melarang kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa,” ujarnya.
.

08 June, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai 14 Julai


DUN : N41 Manek Urai (di bawah Parlimen Kuala Krai)
Keluasan DUN : 550 km persegi
Jumlah kampung : 44 buah
Pekerjaan penduduk : petani

Tarikh Penamaan Calon : 6 Julai 2009 (Isnin)
Tempat Penamaan Calon : Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Tarikh Pengundian : 14 Julai 2009 (Selasa)
Daerah dan Tempat Pengundian;
  1. Temalir - SK Temalir
  2. Sungai Perial - SK Perial
  3. Manek Urai Lama - SK Manek Urai
  4. Manek Urai Baru - SK Manek Urai baru
  5. Sungai Sok - SK Sungai Sok
  6. Chuchoh Puteri - SK Chuchoh Puteri
  7. Lata Rek - SK Lata Rek
  8. Manjor - SK Kg Karangan
  9. Laloh - SK Laloh
Jumlah Pemilih : 12,293 (termasuk 25 pemilih pos)
Melayu 99%, Cina 0.38%, India 0.14%

Tempat Penjumlahan Undi : Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Daftar pemilih mula dijual pada 15 Jun dan pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi SPR www.spr.gov.my, selain di lima kaunter yang akan dikenal pasti.

Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 15 Jun ini.

Pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan pejabat SPR Kelantan di talian 09-748 25 10.