23 June, 2009

Ustaz Nasharuddin, sudahkah luka di hati itu terubat..

Manek Urai 2009 menulis...

Pastinya ramai pembaca termasuk penulis ingin melihat sendiri reaksi Ustaz Nasharuddin setelah bertalu-talu dikecam penyokong Pas setelah timbul isu kerajaan Perpaduan. Bukan setakat kejian penyokong bawahan di kedai-kedai kopi, kecaman juga daripada rakan-rakan dalam pimpinan Pas yang tidak bersetuju dengan beliau, malah ke peringkat 'tertinggi' Mursyidul Am pun begitu bersemangat mengecam beliau, sehingga mengumpamakan beliau sebagai sampah yang menyemakkan dalam Pas.

Walaupun setelah kompromi kepala-kepala pembangkang yang membuat keputusan menolak cadangan kerajaan perpaduan anjuran Pas, sehingga memberikan kesempatan Nik Aziz 'membuat keputusan menarik balik' kecaman terhadap Ustaz Nasharuddin dan menganggap semuanya sudah selesai dan tidak berbangkit lagi - tetapi Timbalan Presiden Pas itu dilihat lebih selesa mengambil kaedah menjauhkan diri dari bersama-sama dengan kepimpinan lain dalam Pas.

Walaupun pada pertemuan dengan Nik Aziz suratkhabar memaparkan Ustaz Nasharuddin mencium tangan Nik Aziz - bagi menunjukkan tidak ada apa-apa masalah lagi - tetapi pastinya bukan senang untuk beliau lupakan kecaman kesat terhadapnya. Pepatah Melayu mengatakan, luka di kaki mudah diubati, luka di hati siapa yang tahu.

Sebab itu beliau hanya menghadiri pertemuan pemimpin kanan PAS dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah petang tetapi mengambil keputusan tidak hadir pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS yang dipengerusikan oleh Haji Hadi pada sebelah malamnya.

Hingga hari ni, masih belum ada kenyataan rasmi daripada beliau. Aku pun tertanya-tanya kenapa Ustaz Nasharuddin tidak memberikan kenyataan akhbar tentang hal ni.

Difahamkan usaha untuk menghubungi beliau menerusi panggilan telefon dan SMS juga tidak menemui hasil. Malah, beliau juga tidak kelihatan di bangunan Parlimen sejak Khamis lalu.

Aku faham perasaan Ustaz Nasharuddin. Bukan senang nak lupakan kecaman dan kejian yang mungkin paling teruk pernah dihadapinya. Nampak sangat kecaman dan kejian ke atas dirinya seolah-olah 'skrip' dirancang oleh musuh-musuh dalam kelambunya sendiri. Bagi mereka kemarahan Nik Aziz terhadap Ustaz Nasharuddin adalah kemenangan yang amat bermakna.

Tapi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Ustaz Nasharuddin harus tampil pertahankan diri, pertahankan prinsip dan maruahnya.

Jangan dibiarkan gerakan-gerakan sulit di bawah tanah di dalam Pas mekar subur sehingga pada satu hari nanti Pas, DAP dan PKR tidak mempunyai beza apa-apa. Apa sahaja yang diputuskan DAP dan PKR, Pas akan akur.

Kalau begitulah kesudahannya, orang yang istiqamah dalam perjuangan sebagaimana Ustaz Nasharuddin pasti akan dipersalahkan, dan musuh-musah dalam kelambu itu boleh bersorak meraikan kemenangan mereka.

.

No comments:

Post a Comment